Tuesday, April 12, 2011

PENGENALAN



Tuan Guru Hj. Mahmud Nasri Othmani (14 Julai 1898 - 16 Januari 1980) ialah ulama dan pengasas pondok lanai Madrasah Misbahul SALAM yang dikenali ramai di negeri Kedah serta juga pengasas Gerak Seni Silat Abjad. Beliau mengajar ilmu tauhid, feqah, tasawuf, dan lain-lain lagi, manakala isterinya mengajar Al-Quran dan kitab-kitab asas Fardu Ain. Mahmud juga sentiasa memenuhi masa lapangnya dengan uzlah bersendirian, dengan tujuan berusaha memisahkan hatinya kepada musyahadah akan Allah Taala.


SALASILAH
Nama lahir Mahmud ialah Syeikh Mahmud Nasri Othmani bin Haji Othman bin Haji Senik bin Haji Wan Hashim bin Haji Wan Abdul Wahab. Datuknya Allahyarham Assyahid Tok Nik Had, keturunan Tok Mekong Awang Hitam. Tok Mekong ialah hulubalang Melayu yang syahid dipancung oleh tentera kufar Siam ketika sedang bersolat di pinggir medan perang mempertahankan negeri dan Kerajaan Fathani Darus Salam pada 1730.
Keturunan Mahmud di sebelah ibunya Haji Mahmud Nasri bin Hajjah Kamaliah binti Haji Saman bin Haji Abdul Samad (Tok Fakeh) bin Hashim bin Wan Abdul Wahab. Mengikut cerita Mahmud, beliau ialah cicit kepada almarhum penghulu kampung Bera Fathani. Namun Wan Hashim itu anak kepada Tok Mekong yang berpindah ke negeri Kelantan ketika kejatuhan kerajaan Islam Fathani Darus Salam kepada penjajahan Siam.
Bapanya, Haji Othman, dilahirkan di kampung Kuala Lengkung, kawasan bendang pendalaman kampung belimbing di dalam jajahan Pasir Mas. Haji Othman dibesarkan dan dididikkan oleh datuknya dengan pelajaran agama dan kemudiannya belajar di pondok. Setelah dewasa, beliau dibawa oleh datuknya ke negeri Kedah dan dinikahkan dengan Hajjah Kamaliah (ibu Mahmud) bagi merapatkan semula pertalian keluarga keturunannya. Pernikahan itu dikurniakan seramai 10 anak yang bernama Ismail, Mahmud Nasri, Saat, Ahmad, Aisyah, Salmah, Cik, Zainab, Rokiah, dan seorang lagi bernama Huduh.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin