Tuesday, April 12, 2011

KEHIDUPAN AWAL


Dilahirkan di Kampung Alor Besar, Kota Sarang Semut, Kedah pada malam Rabu, 24 Safar 1316 Hijrah bersamaan 14 Julai 1898 Masihi, Mahmud dibesarkan dengan pendidikan agama sejak kecil lagi kerana kedua-dua ibu bapanya mempunyai pendidikan agama yang kuat. Selepas  khatam Al-Quran ketika berusia 7 tahun, beliau diserahkan kepada Pak Ngah Idris, guru al-Quran yang berasal dari Pattani, untuk mendalami pendidikan agamanya. Pak Ngah Idris itu datang bermukim di Kedah selama lima tahun. Kebetulan ketika itu, pengajian Islam merupakan pendidikan yang utama bagi orang Melayu di Tanah Melayu dan ramai anak-anak watan telah berjaya menuntut ilmu ke Makkatul Mukarramah.Setelah khatam pengajian asas dengan guru Pak Ngah Idris, Mahmud mengadap gurunya yang kedua di pondok Gajah Mati Tuan Guru Haji Ismail @ Tok Chik Dol di daerah Pendang, Kedah ketika berusia 12 tahun. Selepas menetap belajar di Gajah Mati selama 3 tahun, beliau berpindah ke Sik, Kedah ke pondok Tuan Guru Haji Yaakob Kemelong, seorang ulama yang termashyur pada zaman itu. Mahmud berpondok di Sik sehingga berusia 18 tahun, apabila beliau berhijrah ke negeri Kelantan untuk diasuh oleh Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Abdul Halim. Beliau belajar daripada Syeikh Wan Ahmad selama lapan tahun, lima tahun di Padang Jelapang dan tiga tahun di pondok Pasir Mas Salor.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin